02 Julai 2014

Mesin Penebas Rumput 4 Stroke

Pada tahun 2004 saya membeli mesin penebas rumput made in China dengan harga RM250.00. Apabila wujud di pasaran mesin 4 stroke keluaran Honda dan juga Klon Honda keluaran Taiwan. Menyebabkan saya tertanya-tanya kenapa ia tidak popular. Berdasarkan pemerhatian saya samada mereka yang menebas bahu jalan mahupun yang membersihkan parit mereka memakai mesin tebas rumput biasa. Lantaran itu saya membeli satu unit klon taiwan dengan harga RM580.00 untuk di kongsikan bersama.

Mesin 4 stroke ini membaiki kelemahan yang ada pada mesin rumput 2 stroke antaranya;
  • Daripada pengalaman saya memakai mesin penebas rumput 2 stroke (setiap satu liter petrol perlu ditambah 40ml 2T), supaya mesin dalam keadaan baik kita perlu memakai minyak 2T khas untuk mesin-mesin kecil, penggunaaan minyak 2T motosikal terutama yang berwarna merah menyebabkan hayat mesin tidak panjang. Sebelum membeli mesin penebas 4 stroke, saya bertanya kepada tauke kedai tentang minyak 4 stroke yang baik untuk injin mesin rumput tersebut. Dia menjawab minyak 4 stroke motosikal boleh dipakai.

  • Mesin 2 Stroke mengeluarkan banyak asap, ia mendatangkan masalah apabila tiupan angin mengarah ke muka kita. Ia menyebabkan kita rasa loya dan mahu muntah. Daripada lubang ekzos enjin 4 stroke hanya mengeluarkan haba panas tanpa asap.

  • Percampuran petrol dan minyak 2T telah mengubah dan menurunkan kadar kecekapan pembakaran petrol dalam blok. Asap putih yang keluar daripada ekzos adalah lebihan petrol yang tidak terbakar atau spara terbakar. Ini merupakan pembaziran petrol. Injin 4 Stroke membakar petrol dengan efektif. Lantaran itu ia lebih menjimatkan petrol.

  • Getah dan salur plastik daripada tangki minyak ke karborator, kerap menjadi keras dan pecah bila lama tidak digunakan. 4 Stroke tiada menggunakan getah saluran minyak.

  • Mengeluarkan bunyi enjin yang sangat bising. Enjin 4 stroke mengeluarkan bunyi yang perlahan.

  • Sukar di kendalikan oleh mereka yang kidal. Mesin rumput 4 stroke mesra kepada pengguna kidal kerana tangkinya bercantum sekali dengan enjinnya.

Kelemahannya adalah pastikan pada skru pengikat pisau pemotong disendal dengan pin atau paku kecil kerana skru pengikat tersebut mudah terlonggar terutama kepada mereka yang memotong rumput dengan kelajuan yang berbeza-beza.


23 Jun 2014

Kenali Kod Formulasi Racun

Setiap racun yang kita beli mempunyai Kod Formulasi pada bahagian terakhir namanya. Angka –angka sebelum Kod tersebut merupakan nilai kandungan bahan aktif yang digunakan. Berikut adalah Kod Formulasi yang sering kita lihat yang ada di Malaysia.

SL (Soluble Liquid) Merupakan racun pekatan cair yamg melarut dalam air. Racun ini juga digunakan dengan cara semburan terus. .

SC (Suspension Soncentrate) merupakan formulasi cecair yang terdiri dari bahan aktif  pejal yang halus (dalam saiz mikro) dan ia akan terampai di dalam air.

EC (Emulsifiable Concentrates) adalah larutan pekat racun yang berasakan minyak yang telah ditambah dengan bahan pengemulsi. Bahan pengemulsi adalah sejenis detergen (sabun) yang membolehkan minyak melarut air . Racun EC yang telah ditambah dengan air hendaklah hendak dikacau supaya mesra, supaya tiada gumpalan atau endapan 
Contoh: grothion 50 EC, Basudin 60 EC.

WG (Water Granule) adalah racun yang dikeluarkan dalam bentuk butiran, Ia perlu dicam;purkan dengan air mengikut sukatan yang disyorkan. Kacau sehingga semua butiran racun tersebut melarut dalam air. Dengan lain perkataan sebati. Biasanya setelah ia sebati dengan air, ia perlu disembur terus ke sawah. Sekiranya ia terbiar lama maka terjadi endapan racun pada bahagian bawah tong racun atau bekas yang digunakan.

WP (Wettable Powder) adalah formulasi racun dalam bentuk tepung (WP) yang dapat dilarutkan dengan air berdasarkan sukatan yang disertakan pada lebel pada kotak atau botol racun.


15 Jun 2014

Menangani Ulat gulung Padi

Bagi Kawasan Panchang Bedena Sungai Besar, Penanaman Padi musim 1 di blok saya bermula pada bulan April. Ia juga dengan 'dalam musim' oleh petani tempatan. Berdasarkan pengalaman yang lalu, kita perlu memberi lebih perhatian kepada kawalan serangga perosak seperti ulat lipat daun dan juga ulat gulung.

Pada 2 Jun (saya menabur pada 19/04), Saya telah melihat tanda serangan ulat gulung di bendang saya. Lalu saya menyemburkan racun virtako keluaran sygenta. Seperti yang dimaklumkan oleh pihak sygenta, racun virtako adalah racun 3 dalam satu. Atau dengan kata lain 3 tindakan dalam satu racun iaitu (1) membunuh serangga perosak di permukaan daun ataupun di permukaan batang, (2) membunuh ulat lipat daun, ulat gulung dan juga ulat batang dan (3) bertindak sebagai baja siraman.

Setelah seminggu selepas tarikh tersebut, hasil daripada pemerhatian saya, keberkesanannya cuma sekitar 40% ratus sahaja. Ini menyebabkan saya perlu membuat semburan pusingan kedua. Seperti saranan syarikat racun agar menukar jenis racun yang berlainan tindakannya. Justeru itu saya menggunakan racun Pacer + Racun Mactron keluaran Brightonmax International Sdn. Bhd.(alternatif bagi racun Match) dan juga racun kulat.

Setakat ini racun Pacer tidak pernah mengecewakan saya dan saya amat puas hati tetapi malangnya ia tidak dijual di Sungai Besar dab saya perlu ke Sekinchan untuk membelinya. Memandangkan ia sukar didapati, saya dan juga petani di sini jarang menggunakannya menyebabkan keberkesanannya adalah secara maksima berbanding dengan virtako yang digunakan secara kerap menyebabkan serangga perosak telah mempunyai memiliki imuniti (kebal) terhadap bahan racun tersebut.  

Maklumat Racun Pacer

Keluaran : Dow Agro Sciencers
Kandungan : 500 ml Jenis Pekatan : SC
Bahan Aktif: Mrthoxyfenozide 9.7%
Bahan Lengai : 90.3%
Kelas : 4
Fizikal Racun : berwarna putih kekuningan dan perlu digoncang dahulu.
Kawalan Perosak: Ulat gulung daun Cnaphalocrosis medinalis. Ia bertindak ke atas proses penyalinan kulit.
Sukatan : 20 ml bagi 10 liter air .
Tindakan : Racun ini adalah dalam kumpulan diacylhydrazines yang bertindak secara racun sentuh dan racun perut.
Panduan : Sembur apabila kesan serangan kelihatan. Sembur secara menyeluruh mengenai daun. Ulangi 14 hari kemudian . Hanya 2 kali semburan setiap musim.
Larangan masuk ke sawah : 12 jam.

Harganya : RM 32.00 (pada tarikh Jun 2014). Memandangkan ia bukan barangan harga kawalan kerajaan maka harga tersebut bergantung kepada kedai racun itu sendiri dan mungkin berbeza-beza mengikut tempat.

Nota Saya:  Biarpun syarikat pengeluarkan mensyorkan seperti sukatan di atas, saya dan petani di sini menggunakan sebotol bagi sekeping sawah dengan keluasan 1.2 hektar.

Penafian: Saya tidak ada kaitan dengan mana-mana syarikat pengeluar racun ataupun baja. Segala yang saya tulis adalah berdasarkan pengalaman sendiri ataupun pengalaman petani yang berhampiran.
 





10 Jun 2014

Penjagaan Padi Secara Bijaksana Dan Efektif.

Dalam sektor penanam padi, kita perlu mengetahui masa yang sesuai dalam untuk mengawal siput gondang, rumput rumpai dan juga ulat dan serangga perosak. 

Kawalan Siput gondang Emas adalah penting, Siput Gondang yang tidak dikawal menyebabkan kos bertambah dan juga ia memakan tunas-tunas anak-anak padi menyebabkan hanya padi induk sahaja yang tinggal. (sila rujuk kawalan siput gondang pada Produk Bayer).

Selepas itu, kita perlu mengawal rumput rumpai dan juga padi angin. Jika ia tidak dikawal mengujudkan persaingan dari aspek mendapatkan cahaya dan makanan. Dan kebiasannya padi tewas dalam persaingan ini. Oleh yang demikian adalah amat penting kawalan rumpai didahulukan agar padi dapat membesar dengan sempurna dan membahagi anak secara maksima. lantaran itu waktu yang paling ideal dalam kawalan rumput rumpai ini adalah semasa rumput rumpai ini sudah berdaun dan dapat dilihat agar racun terkena daun dan pkok tersebut dengan demikian  kecekapan racun berada pada tahap maksima. Pada saya waktu yang ideal adalah antara sebelum padi beranak secara aktif 25- hingga 45 hari.

Pernahkah anda bertanya, apakah induk kepada ulat di sawah?. Bukankah lebih baik membasmi induk tersebut kerana jika ia telah bertelur dan menetaskan ulat, sikit sebanyak ia telah merosakkan padi. Lantaran itu lebih mencegah daripada mengubati. Oleh yang demikian anda perlu membasmi kupu-kupu daripada bermaharaja di bendang anda kerana ia adalah induk kepada ulat-ulat di sawah. Jenis ulat-ulat tersebut adalah berdasarkan spesis induknya. -rujuk kepada Nasihat Dari Petani yang mendapat 13 Tan.

Kawalan Bena Perang, perlu memantau bena perang bermula daripad hari ke-15 selepas menabur. Terutama sekiranya veriti padi anda berdaun lebar, pertumbuhan padi yang padat dan juga banyak rumput sambau di bendang anda.

Ramai yang berpendapat baik petani mahupun tauke kedai racun mengatakan bahawa kawalan ulat bermula pada umur padi semasa 30 hari. Biasanya racun yang jenis serapan hanya bertahan dalam padi selama 15 hari. Merujuk kepada serangan kulat bermula pada hari ke-45. Adakah ia relevan?. fikir-fikirkan lah...

Berdasarkan jadual yang dikeluarkan oleh Bayer, kawalan Pianggang atau nanggau hanya sekali semusim kerana nanggau menghisap santan atau susu padi dan ia hanya terjadi sekali semusim. waktu yang ideal adalah ketika padi mula tunduk tetapi anda perlu faham adakah racun yang anda gunakan serapan ataupun racun jenis sentuh. Jika anda menggunakan jenis serapan, benar ia memang perlu sekali tetapi jika racun tersebut adalah jenis sentuh, maka anda perlu mengulanginya beberapa kali.

*Imej jadual saiz besar ada di Facebook Page Bicara Padi.



05 Jun 2014

Produk Bayer

Bayluscide 70 WP 
Kawalan Perosak : Siput Gondang Emas (Pornecea spp.)
Kadar racun bagi 10 liter air : 18g
Kadar racun bagi sehektar : 315g
Isipadu semburan sehektar : 180 liter

Kaedah Penggunaan
Disyorkan semburan pada waktu petang. Sembur racun dengan rata ke atas air sehari selepas dimasukkan air semasa siput paling aktif, iaitu pada peringkat percambahan benih atau mengubah anak benih. Semasa menyembur kekalkan paras air sedalam 3 - 5 sm untuk sekurang-kurangnya 1 hari hingga 3 hari.
 
LECSPLO 44.25 WP
Kawalan Rumput Rumpai : Maman Pasir (Ludwiga hyssopifolia), Rumput Tahi Lembu (Fimbristylis miliacea) dan Rumput Padi Burung (Echinochloa crus-gali)
Kadar racun bagi 10 liter air : 70g
Kadar racun bagi sehektar : 1.75kg
Isipadu semburan sehektar : 250 liter

Kaedah Penggunaan
Boleh disembur sebaik sahaja selepas menabur sehingga hari ke-7. Namun sebaik-baiknya adalah diantara 4 hingga hari ke-7 terutama untuk kawalan padi burung dengan lebih berkesan.
 
RUMPAS M
Kawalan Rumput Rumpai : Rumput Padi Burung (Echinochloa crus-gali), Rumput Padi Burung (Echinochloa colona) dan Rumput Ekor Tebu (Leplochloa chinensis)
Kadar racun bagi 10 liter air : 30 ml
Kadar racun bagi sehektar :  0.73 liter
Isipadu semburan sehektar : 250 liter

Kawalan Rumput Rumpai : Rumput Colok Cina (Ischaenum ngosum),
Kadar racun bagi 10 liter air : 35 ml
Kadar racun bagi sehektar : 0.87 liter
Isipadu semburan sehektar :  250 liter

Kaedah Penggunaan
Masa menyembur adalah antara 10-15 hari selepas tabur (terus).
 
TILLER G
Kawalan Rumpai : Rumput Padi Burung (Echinochloa crusgalli), Rumput Ekor Tebu (Leptochloa  chinensis), Rusiga anak Emas (Cyperus iria)
Isipadu semburan sehektar :  250 liter

Peringkat Padi : 10 - 14 hari
Kadar racun bagi 10 liter air : 20 - 24 ml*
Kadar racun bagi sehektar : 0.5 - 0.6 liter*

Peringkat Padi : 15 - 19 hari
Kadar racun bagi 10 liter air :28 - 32 ml*
Kadar racun bagi sehektar :0.7 -0.8 liter*

*Tertakluk kepada pertumbuhan padi dan keadaan air di sawah
 
SEGI
Kawalan Rumpai : Rusiga anak Emas (Cyperus iria), Keladi Agas (Monochoria vaginalis), Keladi Agas (Sagittaria guyanensis)
Isipadu semburan sehektar :  250 liter

Peringkat Padi : 5 -15 hari
Kadar racun bagi 10 liter air : 4 g
Kadar racun bagi sehektar : 0. 1 kg

Peringkat Padi : >16  hari
Kadar racun bagi 10 liter air : 4.8 g
Kadar racun bagi sehektar : 0.12 kg

DESIS 250
Kawalan Perosak : Ulat lipat Daun (Cnaphalocrosis medinalis)
Kadar racun bagi 10 liter air : 10 ml
Kadar racun bagi sehektar : 0.25 liter
Isipadu semburan sehektar  : 250 liter
Bilangan semburan Maksimum Semusim : 5 kali
Kekerapan Semburan (Jika Perlu Sahaja) : Selang 20 hari sekali
*TDMH : 30 hari

REGENT 50 SC 
Kawalan Perosak : Ulat Pengorek Batang (Chilo spp, Sesamia spp, Scirpophaga spp)
Kadar racun bagi 10 liter air : 10 ml
Kadar racun bagi sehektar :  0.3 liter
Isipadu semburan sehektar : 300 liter


Bilangan semburan Maksimum Semusim : 2 kali
Kekerapan Semburan (Jika Perlu Sahaja) : Selang 14 hari sekali

CONFIDOR 100 SL 
Kawalan Perosak : Bena Perang (Nilaparvata lugens)
Kadar racun bagi 10 liter air : 10 ml
Kadar racun bagi sehektar :  250 ml
Isipadu semburan sehektar : 250 liter
Bilangan semburan Maksimum Semusim : 2 kali
 
LEBAYCID 550 EC
Kawalan Perosak : Pianggang (Leptcorisa acuta)
Kadar racun bagi 10 liter air : 10 ml
Kadar racun bagi sehektar : 300 ml
Isipadu semburan sehektar : Sekali semburan semusim pada 300 liter sehektar

NATIVO
Kawalan Perosak : Karah (Pyricularia oryzae), Hawar Seludang (Rhizoctonia solani) dan Bintik Perang (Helminthosprium oryzae)
Kadar racun bagi 10 liter air : 6.4 g
Kadar racun bagi sehektar : 0.16 kg
Isipadu semburan sehektar :  250 liter

Penafian;-
Apa yang tertulis dalam pst ini adalah berdasarkan yang tertulis dalam buku panduan Racun Perosak untuk perlindungan tanaman Padi. Saya tiada kaitan dengan syarikat ini.
 


04 Jun 2014

Nasihat Dari Petani yang mendapat 13 Tan

Kesan serangan ulat putella
Setiap petani mempunyai jadual kerjanya seperti yang disarankan oleh Jabatan pertanian agar memperolehi pendapatan 10 tan. Ramai antara kita beranggapan untuk menghasilkan yang lumayan memerlukan kos yang tinggi tetapi hakikatnya itu adalah persepsi yang salah. 

Seringkali petani bertanya kepada mereka yang dicop champion, apakah rahsianya sehingga mereka mendapat hasil yang lumayan. Mereka menjawab memadai dengan baja yang kerajaan bekalkan. Cuma dari aspek racun bantuan perlu pilih yang betul dan perlu membuat penambahan 3 atau 4 jenis racun yang tiada dalam senarai racun bantuan kerajaan.

Tetapi kita tidak mempercayainya dan beranggapan tentu ada penambahan baja lain terutama baja kuda singa ataupun mereka menggunakan baja siram ataupun  racun tertentu yang mereka rahsiakan. alasannya kita menggunakan baja dan racun yang sama tetapi hasil bendang kita tidak selumayan mereka.

Berdasarkan penerangan En. Harun,  Perbezaan yang ketara pada jadual kerja ialah pada ketika padi separas lutut/ lebih kurang 30 hingga 40 hari, ia akan turun ke bendang untuk membunuh kupu-kupu. Perkara ini tidak tersenarai  pada jadual kerja petani tahap pertengahan (hasil antara 8 sehingga 10 tan).

Ramai antara kita beranggapan bahawa kupu- kupu tidak memudaratkan kepada kepada padi tetapi sebenarnya ulat kupu- kupu adalah ulat putella. (gambarnya pada fb page- bicara padi). Ulat ini pada peringkat awal yakni ketika padi masih tidak membentuk batang, ia berada pada daun lalu mengulung daun padi dengan mencantumkan kedua-dua sisi padi supaya mempunyai rongga ditengah.

Setelah padi berbatang ia akan masuk ke dalam batang padi. Ramai yang beranggapan gejala serangan telah pulih kerana ia tiada pada daun padi dan gulungan daun padi terbuka dan kelihatan padi telah pulih. hakikatnya ulat tersebut telah membuat kerugian yang lebih besar kerana ia akan memotong tangkai padi dari dalam. lantaran banyak tangkai yang sambang 100%  (petani menamakan bulu ayam) dalam kuantiti yang banyak boleh menyebabkan kerugian bertan- tan.

Petani ini membunuh dulu induknya kerana sekiranya telurnya telah menjadi ulat putella, racun sentuh tidak berkesan kerana ia bersembunyi dalam gulugan daun. Ia memerlukan racun yang berkualiti jenis serapan yang mahal harganya dan perlu mengulangi beberapa kali. Secara tidak langsung ia menambah kos dan juga beban kerja. Sekali gus ia melaksanakan " mencegah lebih baik daripada mengubati".

Berdasarkan pengalaman petani yang meraih pendapatan antara 10 -13 tan. -En. Harun.

Wallahualam.


02 Jun 2014

Racun Padi Kebal yang tidak bercap

Kesan Racun Padi kebal
Buat pertama pada musim ini menanam padi kebal. Saya memilih membeli padi Kebal yang murah yang pada pek benih tidak mempunyai apa-apa cap. Begitu juga dengan racunnya hanya dibungkus dalam plastik kosong dan bukannya On Duty.. Benih dengan racunnya cuma berharga RM95.00 sahaja. berbanding harga padi kebal biasa berharga antara RM105.00 - RM135.00

Semasa saya menabur, pesawah lain  memeriksa benih tersebut dan katanya benihnya bersih tidak seperti yang dia beli pada musim lalu banyak yang berwarna hitam-hitam. Setelah seminggu, saya menabur di bendang dengan peratus tumbuhnya kelihatan seperti hampir 100% peratus (kecuali tempat yang bertakung air akibat daripada membuat batas, tunas padi dimakan siput gondang emas), maka ramai yang bertanya perihal benih yang saya beli dan dari mana saya beli.

Ketika padi berumur 12 hari, menyembur racunnya, saya bertanya kepada mereka yang pernah menanam padi kebal sebelumnya adakah butiran-butiran (WP)  racun ni sama dari aspek fizikalnya. katanya berbeza warnanya. Memandangkan buat kali pertama mereka menasihatkan saya hanya guna 4 bungkus racun kebal + 2 pek Stamp untuk 1.2 hektar/ 1 keping. Saya menyembur racun tersebut dengan 8 lorong dan saki-bagi racun tersebut saya semburkan rumput di tepi jalan.

Pada hari ini genap 44 hari saya menabur padi dan ini bermakna 32 hari selepas saya meracun. Namun saya kerap memantau rumput yang saya sembur di tepi jalan. Kelihatan rumput tersebut tidak membiak, pada awalnya daunnya bertukar warna merah dan seterusnya berwarna coklat dan seterusnya mati tetapi prosesnya agak lama.

Prosesnya lebih lama daripada racun lambat mati (ecomax dan seumpamanya) kerana racun padi kebal bertindak menghalang klorofil rumput dan padi biasa daripada membuat makanan. Dengan ini rumput tersebut mati kerana kelaparan/ kebuluran..

* Saya memuat naik 2 gambar bersaiz besar pada facebook page  Bicara Padi.


31 Mei 2014

Apa itu Zeolite dan kepentingannya terhadap sektor pertanian.

Zeolite yang telah diproses
Pada 29-April 2009, Saya pergi ekspo pertanian, Hari bertemu peladang sempena Hari peladang 2009. Di sana ada berbagai-bagai- bagai gerai dan saya tertarik dengan gerai yang menjual baja gunung berapi, saya berjumpa dengan empunya Syarikat BAKAM SUCI SDN BHD(553295-H), En Amin saya mengajukan beberapa soalan;

Adakah baja Gunung Berapi ini merupakan baja Zeolite dan kenapa dinamakan Baja Gunung Berapi?
Ya Baja Gunung Berapi ini merupakan baja Zeolite. Kami namakan baja Gunung Berapi kerana saya telah mengusahakannya sudah 6 tahun, pada masa tu kami baru memperkenalkan dan mendedahkan Zeolite yang masih asing di negara kita. Bagi memudahkan masyarakat kampung memahami dan mengingatinya bagi memberikan nama Baja Gunung Berapi .

Apa kaitannya dan adakah semua tempat yang terletak di lingkaran gunung berapi wujud Zeolite?
Zeolite merupakan endapan lahar gunung berapi yang berusia berjuta-juta tahun dahulu. Ia perlu dilombong kerana lahar yang berada di atas permukaan sangat bertoksik boleh mati pokok. Memang setiap tempat di lingkaran gunung berapi wujud Zeolite dalam kuantiti dan kualiti yang berbeza.

Tadi En. Amin ada mengatakan tentang Kualiti, boleh tak En. Amin terangkan serba sedikit tentang kualiti Zeolite?
Kualiti Zeolite diukur berdasarkan kecekapan Zeolite tersebut mengambil dan melepaskan unsur N bila pokok di sekitarnya memerlukan (CEC- Cation Exchange Capacity). Ada Zeolite yang mencapai 800meg bagi 100g tetapi ia tidak sesuai untuk sektor pertanian kerana harganya sangat mahal. Untuk sektor pertanian CECnya antara 100-160meg/100g.Bagi Baja Gunung Berapi, Zeolitenya adalah 159.8, Hampir maksimum di tahapnya.

Boleh tak En.Amin terangkan kebaikan Zeolite berbanding baja kimia dan baja kompos yang lain.
Zeolite mengandungi Potassium yang tinggi bergandingan dengan Unsur N berkebolehan memulihkan tanah yang telah mati dan memperkayakannya dengan unsur-unsur seperti KTK,N,Ca,Mg dan K, mengekalkan PH tanah yang sesuai untuk pertanian, 5 hingga 7,mengikat ion-ion Amonia dan melepaskannya bila diperlukan,menambahkan ketahanan pokok dari serangan penyakit,menyediakan ruang yang sesuai mikrob yang membantu pertanian, menambahkan berat serta buah-buahan menjadi manis,mengimbangi kandungan oksigen dalam tanah serta mengawal unsur Aluminium (racun). Baja Kimia hanya membekalkan NPK sahaja manakala baja kompos yang lain tidak mengandungi Zeolite.

Adakah unsur N yang diambil diikat dengan ikatan Kovalen?
Ia tidak membentuk sebatian kimia. Untuk mudah difahami ia umpama magnet yang menarik besi tetapi bagi Zeolite, besinya adalah N.

Berapa lamakah ia bertahan dan berfungsi?
Empat bulan seterusnya ia sudah kehilangan kebolehannya kerana itulah ia perlu diulangi selepas 4 bulan.

Selama En. Amin mengusahakan Baja Gunung Berapi ini adakah En. Amin mendapat rungutan tidak berpuas hati dari pelanggan anda?
Pelanggan yang membeli Baja Gunung Berapi sentiasa mengulangi pembelian buat kali ke-2 dan seterusnya. Ini bermakna mereka berpuas hati dengan kualiti baja kami. Pernah ada seorang pelanggan mengadu kepada kami membeli baja Zeolite dari syarikat lain sebanyak 3 Tan tapi tiada kesan. Apa yang dapat saya bantu cuma menasihatkannya agar menabur bakinya seterusnya membeli baja kami. Kini dia menjadi pelanggan tetap kami.

Ini bermakna wujud baja Zeolite tiruan dalam pasaran kita?
Mungkin ada tetapi saya rasanya tidak tepat diklasifikasikan dengan tiruan tetapi jumlah zeolitenya terlalu sedikit dalam baja mereka. Ini terjadi kerana untuk mengambil Zeolite sangat sukar kerana perlu menebuk jauh ke dalam tanah dan melibatkan kos yang tinggi dan apabila pengimport memaksa pengeksport menawarkan harga yang murah, lalu pengeksport yang tidak bertanggungjawab tersebut mencampurkannya dengan batu granit. Cuba tengok contoh di atas meja tu (sambil menunjuk ke arah satu bekas yang berisi batu).

(Saya mengambil contoh Zeolite memang kelihatannya sama Cuma batu granit permukaannya agak berkilat)
Saya penah memeriksa website anda Organikpro tetapi tiada jualan online, kenapa?
Saya mahu pelanggan berjumpa sendiri dengan saya atau agen saya supaya mereka kenal. Dengan ini mereka dapat penerangan serba sedikit semasa proses pembelian serta kami bertanggungjawab atas apa yang kami jual.

Adakah anda menerangkan secara terperinci dalam website tersebut perihal zeolite?
Tidak!, kerana saya perlu melindungi orang ramai daripada terpedaya dengan orang yang tidak bertanggungjawab. Memang lumrah bila seseorang menerangkan dengan penuh pengetahuan dan dapat menjawab setiap persoalan. Ia lebih meyakinkan tetapi persoalannya adakah produknya seperti yang diharapkan atau pengetahuannya cuma melalui pembelajaran di Internet?

Okey, saya mengucapkan terima kasih kerana kesediaan En. Amin ditemu bual oleh saya.
Sama-sama

*Post ini adalah artikel yang saya pernah terbitkan dalam blog saya yang terdahulu. Namun ia tiada lagi di internet dan saya terbitkan semula di sini. Saya tidak pasti samada syarikat Bakam Suci ini masih wujud mahupun tidak tetapi posting ini memberikan anda pengetahuan tentang Zeolite dan beberapa panduan untuk membeli produk zeolite yang ada dipasaran.


Simptom penyakit pada daun padi

Penyakit kulat mula kelihatan pada padi seawal umur padi 45 hari. Ia perlu dikawal dengan baik kerana ia adalah parasit yang mengambil neutrien yang diperlukan oleh padi untuk tumbesaran dan juga untuk mengisi buah padi. sudah pasti daripada kulat yang tidak terkawal mengurangkan pendapatan petani.
  1. Hawar Seludang (Thanatephorus Cucumeris)
  2. Smut Daun/ Minute Disease (Entyloma Oryzae)
  3. Bintik Perang/Brown Spot (Cochliobotus Miyabeanus)
  4. Stackburn Disease (Alternaria Padwickii)
  5. Bintik Perang Kecil (Sphaerulina Oryzina)
  6. Penyakit Melecur Daun (Monographeila Albescens)
  7. Penyakit Karah Daun (Pyricularia Oryzae
  8. Hawar Daun Bakteria (Xanthomnas Campestris)
* perkara yang dalam kurungan ( ) adalah kulat dan bateria yang menyebabkan penyakit tersebut.


29 Mei 2014

Buah Pong- Pong

Pong- Pong
Buah Pong- Pong berwarna hijau dan berwarna Merah hati
Buah Pong- Pong atau dalam nama saintifiknya Cerbera odollam merupakan buah yang mengandungi toksik yang tinggi terutama pada bijinya dan menduduki tangga ke-4 tumbuhan yang paling merbahaya di dunia. Ia dikenali sebagai 'suicide tree' dalam bahasa inggeris.

Ia amat bagus dalam kawalan tikus. Tikus amat tidak menyukai buah ni.  lantaran itu sedaya upaya mengelak kawasan yang ada buah ini.

Memandang ia beracun, pokok ini diserang oleh ulat mahupun kulat. Cara penyemaran benihnya adalah menerusi air. oleh yang demikian apabila pokok ini wujud di beberapa sawah padi di kawasan sungai besar yang mana sistem pengairannya menggunakan palong, maka ia adalah hasil daripada tanaman petani yang berpengetahuan luas kerana ia tidak mungkin disebarkan oleh binatang.

Saya pernah mengambil buah ini kerana tikus selalu masuk ke dalam rumah terutama  bawah katil, bawah peti sejuk dan juga berhampiran dengan mesin basuh.

Ternyata tiada lagi najis tikus di tempat tersebut setelah saya meletakkan buah tersebut.  sekaligus ia membuktikan info yang kawan katakan adalah benar.



28 Mei 2014

Pembukaan Bicara.

bicara padi
Untuk makluman pengunjung blog ini, saya merupakan petani yang mengerjakan sawah di kawasan Sungai Besar, Selangor. Lantaran itu info, tips dan seumpamanya adalah berdasarkan pengalaman saya dan juga daripada rakan- rakan pesawah di sekeliling saya.

Tujuan blog ini diwujudkan adalah bagi membolehkan kita tolong menolong ke arah kebaikan dan dengannya Ins Sha Allah, Allah menambahkan lagi rezeki dan keberkatan daripada rezeki yang dikurniakan kepada kita.

Selain daripada itu, sebelum ini saya pernah menulis blog iaitu pelbagai.com. memandangkan ada beberapa hal yang tidak dapat dielakkan blog tersebut saya terpaksa lupakan. Dan saya meminta maaf sekiranya artikel dalam blog ini tidak selalu diterbitkan secara konsisten kerana artikel yang saya ingin kongsikan adalah berdasarkan keperluan semasa dan juga bergantung kepada masa terluang saya.

Ins Sha Allah artikel daripada blog ini bukannya copy and pastle daripada blog orang lain. Seandainya ada keperluan maklumat daripada blog orang lain, saya cuma menulis berapa isi penting dan untuk tujuan detailnya perlu klik pada pautan yang saya sertakan.

Saya amat berbesar hati, apabila pengunjung memberi komen yang bertujuan menambah baik, memperhalusi sesuatu artikel yang saya terbitkan.