31 Mei 2014

Apa itu Zeolite dan kepentingannya terhadap sektor pertanian.

Zeolite yang telah diproses
Pada 29-April 2009, Saya pergi ekspo pertanian, Hari bertemu peladang sempena Hari peladang 2009. Di sana ada berbagai-bagai- bagai gerai dan saya tertarik dengan gerai yang menjual baja gunung berapi, saya berjumpa dengan empunya Syarikat BAKAM SUCI SDN BHD(553295-H), En Amin saya mengajukan beberapa soalan;

Adakah baja Gunung Berapi ini merupakan baja Zeolite dan kenapa dinamakan Baja Gunung Berapi?
Ya Baja Gunung Berapi ini merupakan baja Zeolite. Kami namakan baja Gunung Berapi kerana saya telah mengusahakannya sudah 6 tahun, pada masa tu kami baru memperkenalkan dan mendedahkan Zeolite yang masih asing di negara kita. Bagi memudahkan masyarakat kampung memahami dan mengingatinya bagi memberikan nama Baja Gunung Berapi .

Apa kaitannya dan adakah semua tempat yang terletak di lingkaran gunung berapi wujud Zeolite?
Zeolite merupakan endapan lahar gunung berapi yang berusia berjuta-juta tahun dahulu. Ia perlu dilombong kerana lahar yang berada di atas permukaan sangat bertoksik boleh mati pokok. Memang setiap tempat di lingkaran gunung berapi wujud Zeolite dalam kuantiti dan kualiti yang berbeza.

Tadi En. Amin ada mengatakan tentang Kualiti, boleh tak En. Amin terangkan serba sedikit tentang kualiti Zeolite?
Kualiti Zeolite diukur berdasarkan kecekapan Zeolite tersebut mengambil dan melepaskan unsur N bila pokok di sekitarnya memerlukan (CEC- Cation Exchange Capacity). Ada Zeolite yang mencapai 800meg bagi 100g tetapi ia tidak sesuai untuk sektor pertanian kerana harganya sangat mahal. Untuk sektor pertanian CECnya antara 100-160meg/100g.Bagi Baja Gunung Berapi, Zeolitenya adalah 159.8, Hampir maksimum di tahapnya.

Boleh tak En.Amin terangkan kebaikan Zeolite berbanding baja kimia dan baja kompos yang lain.
Zeolite mengandungi Potassium yang tinggi bergandingan dengan Unsur N berkebolehan memulihkan tanah yang telah mati dan memperkayakannya dengan unsur-unsur seperti KTK,N,Ca,Mg dan K, mengekalkan PH tanah yang sesuai untuk pertanian, 5 hingga 7,mengikat ion-ion Amonia dan melepaskannya bila diperlukan,menambahkan ketahanan pokok dari serangan penyakit,menyediakan ruang yang sesuai mikrob yang membantu pertanian, menambahkan berat serta buah-buahan menjadi manis,mengimbangi kandungan oksigen dalam tanah serta mengawal unsur Aluminium (racun). Baja Kimia hanya membekalkan NPK sahaja manakala baja kompos yang lain tidak mengandungi Zeolite.

Adakah unsur N yang diambil diikat dengan ikatan Kovalen?
Ia tidak membentuk sebatian kimia. Untuk mudah difahami ia umpama magnet yang menarik besi tetapi bagi Zeolite, besinya adalah N.

Berapa lamakah ia bertahan dan berfungsi?
Empat bulan seterusnya ia sudah kehilangan kebolehannya kerana itulah ia perlu diulangi selepas 4 bulan.

Selama En. Amin mengusahakan Baja Gunung Berapi ini adakah En. Amin mendapat rungutan tidak berpuas hati dari pelanggan anda?
Pelanggan yang membeli Baja Gunung Berapi sentiasa mengulangi pembelian buat kali ke-2 dan seterusnya. Ini bermakna mereka berpuas hati dengan kualiti baja kami. Pernah ada seorang pelanggan mengadu kepada kami membeli baja Zeolite dari syarikat lain sebanyak 3 Tan tapi tiada kesan. Apa yang dapat saya bantu cuma menasihatkannya agar menabur bakinya seterusnya membeli baja kami. Kini dia menjadi pelanggan tetap kami.

Ini bermakna wujud baja Zeolite tiruan dalam pasaran kita?
Mungkin ada tetapi saya rasanya tidak tepat diklasifikasikan dengan tiruan tetapi jumlah zeolitenya terlalu sedikit dalam baja mereka. Ini terjadi kerana untuk mengambil Zeolite sangat sukar kerana perlu menebuk jauh ke dalam tanah dan melibatkan kos yang tinggi dan apabila pengimport memaksa pengeksport menawarkan harga yang murah, lalu pengeksport yang tidak bertanggungjawab tersebut mencampurkannya dengan batu granit. Cuba tengok contoh di atas meja tu (sambil menunjuk ke arah satu bekas yang berisi batu).

(Saya mengambil contoh Zeolite memang kelihatannya sama Cuma batu granit permukaannya agak berkilat)
Saya penah memeriksa website anda Organikpro tetapi tiada jualan online, kenapa?
Saya mahu pelanggan berjumpa sendiri dengan saya atau agen saya supaya mereka kenal. Dengan ini mereka dapat penerangan serba sedikit semasa proses pembelian serta kami bertanggungjawab atas apa yang kami jual.

Adakah anda menerangkan secara terperinci dalam website tersebut perihal zeolite?
Tidak!, kerana saya perlu melindungi orang ramai daripada terpedaya dengan orang yang tidak bertanggungjawab. Memang lumrah bila seseorang menerangkan dengan penuh pengetahuan dan dapat menjawab setiap persoalan. Ia lebih meyakinkan tetapi persoalannya adakah produknya seperti yang diharapkan atau pengetahuannya cuma melalui pembelajaran di Internet?

Okey, saya mengucapkan terima kasih kerana kesediaan En. Amin ditemu bual oleh saya.
Sama-sama

*Post ini adalah artikel yang saya pernah terbitkan dalam blog saya yang terdahulu. Namun ia tiada lagi di internet dan saya terbitkan semula di sini. Saya tidak pasti samada syarikat Bakam Suci ini masih wujud mahupun tidak tetapi posting ini memberikan anda pengetahuan tentang Zeolite dan beberapa panduan untuk membeli produk zeolite yang ada dipasaran.


Simptom penyakit pada daun padi

Penyakit kulat mula kelihatan pada padi seawal umur padi 45 hari. Ia perlu dikawal dengan baik kerana ia adalah parasit yang mengambil neutrien yang diperlukan oleh padi untuk tumbesaran dan juga untuk mengisi buah padi. sudah pasti daripada kulat yang tidak terkawal mengurangkan pendapatan petani.
  1. Hawar Seludang (Thanatephorus Cucumeris)
  2. Smut Daun/ Minute Disease (Entyloma Oryzae)
  3. Bintik Perang/Brown Spot (Cochliobotus Miyabeanus)
  4. Stackburn Disease (Alternaria Padwickii)
  5. Bintik Perang Kecil (Sphaerulina Oryzina)
  6. Penyakit Melecur Daun (Monographeila Albescens)
  7. Penyakit Karah Daun (Pyricularia Oryzae
  8. Hawar Daun Bakteria (Xanthomnas Campestris)
* perkara yang dalam kurungan ( ) adalah kulat dan bateria yang menyebabkan penyakit tersebut.


29 Mei 2014

Buah Pong- Pong

Pong- Pong
Buah Pong- Pong berwarna hijau dan berwarna Merah hati
Buah Pong- Pong atau dalam nama saintifiknya Cerbera odollam merupakan buah yang mengandungi toksik yang tinggi terutama pada bijinya dan menduduki tangga ke-4 tumbuhan yang paling merbahaya di dunia. Ia dikenali sebagai 'suicide tree' dalam bahasa inggeris.

Ia amat bagus dalam kawalan tikus. Tikus amat tidak menyukai buah ni.  lantaran itu sedaya upaya mengelak kawasan yang ada buah ini.

Memandang ia beracun, pokok ini diserang oleh ulat mahupun kulat. Cara penyemaran benihnya adalah menerusi air. oleh yang demikian apabila pokok ini wujud di beberapa sawah padi di kawasan sungai besar yang mana sistem pengairannya menggunakan palong, maka ia adalah hasil daripada tanaman petani yang berpengetahuan luas kerana ia tidak mungkin disebarkan oleh binatang.

Saya pernah mengambil buah ini kerana tikus selalu masuk ke dalam rumah terutama  bawah katil, bawah peti sejuk dan juga berhampiran dengan mesin basuh.

Ternyata tiada lagi najis tikus di tempat tersebut setelah saya meletakkan buah tersebut.  sekaligus ia membuktikan info yang kawan katakan adalah benar.



28 Mei 2014

Pembukaan Bicara.

bicara padi
Untuk makluman pengunjung blog ini, saya merupakan petani yang mengerjakan sawah di kawasan Sungai Besar, Selangor. Lantaran itu info, tips dan seumpamanya adalah berdasarkan pengalaman saya dan juga daripada rakan- rakan pesawah di sekeliling saya.

Tujuan blog ini diwujudkan adalah bagi membolehkan kita tolong menolong ke arah kebaikan dan dengannya Ins Sha Allah, Allah menambahkan lagi rezeki dan keberkatan daripada rezeki yang dikurniakan kepada kita.

Selain daripada itu, sebelum ini saya pernah menulis blog iaitu pelbagai.com. memandangkan ada beberapa hal yang tidak dapat dielakkan blog tersebut saya terpaksa lupakan. Dan saya meminta maaf sekiranya artikel dalam blog ini tidak selalu diterbitkan secara konsisten kerana artikel yang saya ingin kongsikan adalah berdasarkan keperluan semasa dan juga bergantung kepada masa terluang saya.

Ins Sha Allah artikel daripada blog ini bukannya copy and pastle daripada blog orang lain. Seandainya ada keperluan maklumat daripada blog orang lain, saya cuma menulis berapa isi penting dan untuk tujuan detailnya perlu klik pada pautan yang saya sertakan.

Saya amat berbesar hati, apabila pengunjung memberi komen yang bertujuan menambah baik, memperhalusi sesuatu artikel yang saya terbitkan.